Friday, April 14, 2006

Hadis 10 - Segera Bersedekah

Daripada 'Uqbah bin Al-Haarith, ia berkata, aku sembahyang berserta Nabi SAW akan sembahyang asar. Ia memberi salam, bangunlah ia dengan segera dan masuk menemui setengah perempuan-perempuannya. Kemudian ia keluar dan melihat kepada muka-muka mereka yang nampak kehairanan kerana bersegeranya, lalu ia bersabda, aku baru teringat sedang aku di dalam sembahyang akan emas yang belum dibersihkan yang ada di sisi kami, maka aku benci emas tersebut berpetang atau bermalam di sisi kami, maka aku suruh membahagikannya.


Keterangan:

Diriwayatkan daripada 'Uqbah bahawa dia sembahyang beserta junjungan SAW sembahyang asar. Maka, apakala selesai sahaja Rasulullah memberi salam, terus ia bangun dengan segera dan masuk kepada setengah perempuan-perempuannya.

Setelah itu, ia keluar dan dilihatnya akan tanda kehairanan di muka mereka yang berada di situ keranan cepatnya.

Maka Rasulullahpun menjelaskan ketika dia sedang bersembahyang itu, baharu dia teringat adanya ketul-ketul emas yang belum dibahagi-bahagikan (emas itu dibawakan kepadanya untuk disedekahkan kepada orang-orang Islam). Dia benci emas itu tersimpan hingga ke petang hari ataupun bermalam di sisi mereka. Sebab itu, maka diapun menyuruh melakukan pembahagiannya dengan seberapa segera kepada orang-orang miskin.

Difaham daripada hadis tersebut, bahawa kelebihan (fadhilat) menyegerakan sedekah dan belanja keranan Allah untuk memberi pertolongan kepada orang-orang Islam, sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah membahagikan emas yang ia teringat waktu ia di dalam sembahyang dan junjungan tiada suka adanya emas-emas itu berpetang-petang atau bermalam-malam di rumahnya kerana yang demikian menyebabkan tertahan atau terhenti daripada dikeluarkannya untuk sedekah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home