Tuesday, April 11, 2006

Hadis 7 - Tujuh Orang Yang Dinaungi Allah Di Hari Qiamat

Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, ia bersabda:

"Tujuh orang yang dinaungi akan mereka oleh Allah pada naunganNya pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya sahaja: Imam yang 'adil, dan pemuda yang hidup terdidik pada ibadat tuhannya, dan lelaki yang hatinya bergantung dengan masjid-masjid, dan dua orang lelaki yang berkasih sayang pada Allah; berhimpun keduanya keranaNya dan bercerai keduanya keranaNya, dan lelaki yang meminta kepadanya oelh perempuan yang mempunyai kemuliaan dan kecantikan; maka ia berkata, bahawa aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekelian alam, dan lelaki yang bersedekah dengan sedekah yang ia sembunyikan hingga tiada mengetahui oleh tangan kirinya apakah yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, dan lelaki yang mengingati Allah 'Azzawajalla dengan ikhlas, maka mengalirlah dua matanya kerana menangis"


Daripada sabda junjungan tersebut, nyatalah bahawa tujuh orang yang dinaungi oleh Allah pada hari qiamat, hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya sahaja.

Tujuh orang itu ialah:

1. Imam atau raja yang 'adil di dalam pemerintahannya dan rakyatnya merasa keadilannya.

2. Pemuda (iaitu orang yang kurang usianya daripada 40 tahun) yang hidup terdidik beragama, tekun dan taat beribadat kepada tuhannya.

3. Lelaki yang hantinya tergantung atau tertambat dengan masjid-masjid; lelaki yang sentiasa teringat kepada masjid-masjid selepas ia menunaikan sembahyang di dalamnya.

4. Dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah bukan kerana keduniaan; berhimpun dan bersatu keduanya kerana Allah dan bercerai-berai keduanya oleh kerana mati, kerana Allah.

5. Lelaki yang diminta kepadanya oleh seorang perempuan supaya ia melakukan perbuatan zina, sedangkan perempuan itu mempunyai keturunan atau kemewahan hartabenda serta kecantikan, maka oleh lelaki itu ditolak dan dikatakannya : Bahawa akutakut kepada Allah, seru sekelian alam.

6. Lelaki yang bersedekah dengan sedekah yang ia sembunyikan dan ia sulitkannya hingga tiada mengetahui oleh tangan kirinya apakah yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, padahal dua tangannya itu berada di badannya yang satu.

Dikehendakki dengan bersedekah yang disembunyikan di sini ialah sedekah sunat bukan sedekah wajib. Adapun sedekah wajib maka menzahirkannya lebih afdhal.

7. Lelaki yang mengingati Allah di dalam hatinya atau lidahnya dengan zikir yang disertai ikhlas dan bersih hati bukan dengan riya' hingga mengalir air matanya kerana terkenang kebesaran Allah dan takut siksaannya.

Mudah-mudahan dipermasukkan Allah kita ke dalam salah satu daripada golongan tujuh di atas ini lalu mendapat naunganNya pada hari qiamat kelak - Aamin!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home