Saturday, April 08, 2006

Hadis 2 - Kebaikan Yang Diberikan Kepada Orang yang Faham Agama

Daripada Mu'awwiyyah bin Abi Sufyan, Radiallahu 'anhuma, ia berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda,

"Barangsiapa yang Allah kehendakki kebajikan baginya, diberikan faham kepadanya dalam agama dan hanya aku ini sebagai pembahagi, dan Allah pemberi. Dan sentiasalah umat ini (ahli ilmu atau mereka yang berpegang dengan sunnah) berdiri atau tegak di atas perkara (agama) Allah, tentulah tiada mendatangkan mudharat atau bahaya kepada mereka oleh siapa yang menyalahi mereka hingga datanglah perintah Allah"


Hadis tersebut menerangkan bahawa Mu'awwiyyah telah berkata, (aku dengar junjungan bersabda, siapa yang dikehendakki Allah kebaikan, diberikan Allah faham) atau pengertian (pada agamanya, dan hanya aku pembahagi) membahagi sama rata di kalangan kamu pengetahuan tentang kesampaian wahyu dengan tidak ada perbezaan (dan Allah yang memberi) iaitu memberi faham tentang makna wahyu itu menurut kesanggupan masing-masing.

Junjungan memberitahu yang ia tiada melebihkan tentang pembahagian wahyu yang disampaikan kepadanya. Ia menyamakan pembahagian itu antara umat-umatnya.

Dengan ini dapat difaham bahawa junjungan Rasulullah SAW telah membahagi atau menyampaikan apa yang telah disampaikan kepadanya. Hanya untuk mendapat faham apa yang disampaikan itu terhenti pula kepada Allah, dan Allah Tuhan yang memberi kepada seseorang tenaga dan daya berfikir untuk memahaminya.

Berkata setengah sahabat, kami mendengar suatu hadis, maka kami tiada faham atau tiada mengerti daripada hadis itu melainkan yang zahirnya sahaja. Ada pula orang lain atau golongan yang datang kemudian, mendengar hadis itu juga, maka mereka itu dapat memahami serta dapat pula mengeluarkan masalah yang banyak daripadanya. Yang demikian adalah daripada kelebihan Allah berikan kepada siapa yang dikehendakkiNya.

Selanjutnya junjungan menyambung sabdanya yang menyatakan, bahawa sentiasalah hendaknya umat ini berpegang dengan perjalanannya dan berdiri di atas agama Allah, tiada berpaling daripadanya; tentu tiada datang kemudharatan kepada mereka oleh sesiapa yang menyalahi mereka - sekiranya mereka berpegang dengan perjalan itu - hingga datanglah perintah Allah sebelum beberapa masa daripada saat datangnya hari kiamat.

2 Comments:

Anonymous Anonymous said...

This comment has been removed by a blog administrator.

February 02, 2007 7:00 PM  
Anonymous Anonymous said...

This comment has been removed by a blog administrator.

March 05, 2007 3:32 PM  

Post a Comment

<< Home