Saturday, April 15, 2006

Hadis 16 - Demam, Adalah Daripada Kepanasan Neraka

Terjemahan dan keterangan:

Daripada Raafi' bin Khadiij, ia mendengar junjungan Nabi SAW bersabda:

"Penyakit demam itu adalah daripada bersangatan panas api neraka jahannam. Sebab itulah maka, sejukkanlah kepanasan kamu dengan air."


Inilah sepotong hadis ajaran Rasulullah, penyembuh penyakit demam.

Hadis 15 - Pertanyaan-pertanyaan Syaitan

Terjemahan dan keterangan:

Daripada Abi Hurairah RA, berkata ia, bersabda Rasulullah SAW: Datang syaitan kepada seorang kamu, lalu bertanya: Siapakah yang menjadikan bagian itu? Siapakah yang menciptakan bagian itu? Dan seterusnya hingga berkata syaitan itu: Siapakah yang menjadikan Tuhan engkau?

Beginilah caranya syaitan itu mendatangkan was-was dan syak-wasangka kepada seseorang. Ditanyanya siapakah yang menjadikan itu dan ini berlarutan sehingga kesudahannya syaitan akan bertanya pula: Siapakah yang menjadikan Tuhan?

Maka apabila sampai ke situ, iaitu kepada pertanyaan siapakah yang menjadikan Tuhan engkau itu, maka hendaklah ia berlindung dengan Allah - katalah: A'u zubillahi minasyaitanirrajiim - dan berhentilah daripada mendengar kepada was-was syaitan yang terkutuk.

Hadis 14 - Tiga Simpulan Syaitan

Daripada Abi Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

"Menyimpul syaitan di atas belakang kepala seorang kamu apabila ia tidur tiga simpulan. Memukul syaitan itu ke atas tiap-tiap simpulan pada tempatnya yang di belakang kepala itu sambil berkata: Tetaplah engkau begini - tidurlah, malam masih panjang, maka tidurlah engkau..! Kemudian, jika ia terjaga lalu menyebut nama Allah, atau mengingat Allah, terhurailah satu simpulan. Jika ia mengambil wudu', terbukalah satu simpulan lagi. Jika ia sembahyang, terhurailah segala simpulan itu semuanya. Maka, berpagi-pagilah ia - bangun pagi - dengan rajin dan segar serta elok perasaan diri. Dan kalau tidak, berpagi-pagilah dengan busuk perasaan diri lagi malas dan segan."


Demikian keterangan hadis berkenaan hal syaitan denga orang yang tidur. Ia memujuk mendayu-dayu orang yang tidur itu supaya jangan bangun mengerja sembahyang; kalau boleh, tidurlah dan tinggallah sembahyang. Orang yang lepas daripada tipu-dayanya akan sembahyang dan bangun dengan perasaan rajin lagi segar. Tetapi, yang terlena dengan tipu-dayanya, akan keberatan hendak bangun dan berperasaan malas serta segan.

Hadis 13 - Diperlihatkan Syurga dan Neraka

Daripada Abdullah bin Umar RA, berkata ia, bersabda Rasulullah SAW:

"Apabila mati seorang kamu, maka bahawasanya ditunjukkan kepadanya tempat duduknya pada pagi hari dan petangnya. Maka, jika adalah ia (orang yang mati itu), daripada ahli syurga, maka daripada ahli syurgalah ia (iaitu ditunjukkan kepadanya tempat duduknya di dalam syurga). Dan jika adalah ia daripada ahli neraka, maka daripada ahli nerakalah ia (iaitu ditunjukkan kepadanya tempat duduknya di dalam neraka).

Hadis 12 - Isteri Yang Enggan Menyahut Ajakan Suami

Daripada Abi Hurairah RA, berkata ia, bersabda Rasulullah SAW:

"Apabila memanggil seorang lelaki akan perempuannya ke tempat tidurnya, maka ia, perempuan itu enggan, tidak mahu datang ke tempat suaminya, lalu tidurlah lelaki itu seorang diri dengan hati yang marah kepadanya, dikutuk malaikat perempuan itu sehingga waktu pagi"


Demikian hadis junjungan yang menerangkan perihalnya seorang perempuan yang enggan memenuhi seruan atau panggilan suaminya ke tempat tidur bila-bila masa dikehendakkinya. Disebutkan (dilaknat malaikat sehingga ke pagi) kerana kelaziman bersetiduran itu adalah pada malam hari.

Hadis 11 - Rupa Orang Yang Meminta-Minta Di Dunia

Daripada Abdullah bin Umar, ia berkata, telah bersabda Rasulullah SAW:

"Sentiasa seorang lelaki itu meminta-minta kepada manusia hingga datanglah ia pada hari qiamat (kelak) tiada pada mukanya sepotong daging"


Hadis terrsebut menggambarkan rupa orang yang meminta-minta di dunia, iaitu balasan kepada orang meminta-minta sedekah daripada manusia untuk memperbanyakkan atau menambahkan simpanan hartanya atau wangnya dan bukan untuk menyempurnakan hajatnya yang harus. Kedatangan orang itu pada hari qiamat kelak dengan ketiadaan terdapat pada mukanya sepotong daging.

Junjungan Rasulullah SAW berkata di akhir sabdanya yang ertinya "iaitu tidak ada pada mukanya seketul atau sekumpul daging" ialah sebagai menyatakan balasan hina dan tiada langsung kehormatan pada orang yang meminta-minta sedekah atau sebagai menyatakan dengan tepat balasan siksa dan tiada langsung kesenangan bagi orang itu. Dan siksaan ini adalah amat bersesuaian dengan perbuatan meminta-minta di hari dunianya.

Dengan hadis ini, jelaslah bagi kita bahawa Islam amatlah benci dan mencela sekeras-kerasnya perbuatan orang meminta-minta sedekah. Sebaliknya, Islama amatlah memuji dan mendesak sekuat-kuatnya supaya tiap-tiap pemeluknya berusaha dengan giat mencari kehidupan dan meninggi taraf hidupnya dengan jalan berikhtiar serta percaya akan kemampuannya untuk berdiri tegak di atas kaki sendiri atau apa yang diisitilahkan sekarang ini sebagai berdikari.

Friday, April 14, 2006

Hadis 10 - Segera Bersedekah

Daripada 'Uqbah bin Al-Haarith, ia berkata, aku sembahyang berserta Nabi SAW akan sembahyang asar. Ia memberi salam, bangunlah ia dengan segera dan masuk menemui setengah perempuan-perempuannya. Kemudian ia keluar dan melihat kepada muka-muka mereka yang nampak kehairanan kerana bersegeranya, lalu ia bersabda, aku baru teringat sedang aku di dalam sembahyang akan emas yang belum dibersihkan yang ada di sisi kami, maka aku benci emas tersebut berpetang atau bermalam di sisi kami, maka aku suruh membahagikannya.


Keterangan:

Diriwayatkan daripada 'Uqbah bahawa dia sembahyang beserta junjungan SAW sembahyang asar. Maka, apakala selesai sahaja Rasulullah memberi salam, terus ia bangun dengan segera dan masuk kepada setengah perempuan-perempuannya.

Setelah itu, ia keluar dan dilihatnya akan tanda kehairanan di muka mereka yang berada di situ keranan cepatnya.

Maka Rasulullahpun menjelaskan ketika dia sedang bersembahyang itu, baharu dia teringat adanya ketul-ketul emas yang belum dibahagi-bahagikan (emas itu dibawakan kepadanya untuk disedekahkan kepada orang-orang Islam). Dia benci emas itu tersimpan hingga ke petang hari ataupun bermalam di sisi mereka. Sebab itu, maka diapun menyuruh melakukan pembahagiannya dengan seberapa segera kepada orang-orang miskin.

Difaham daripada hadis tersebut, bahawa kelebihan (fadhilat) menyegerakan sedekah dan belanja keranan Allah untuk memberi pertolongan kepada orang-orang Islam, sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah membahagikan emas yang ia teringat waktu ia di dalam sembahyang dan junjungan tiada suka adanya emas-emas itu berpetang-petang atau bermalam-malam di rumahnya kerana yang demikian menyebabkan tertahan atau terhenti daripada dikeluarkannya untuk sedekah.

Hadis 9 - Memelihara Hak Diri dan Ahli

Daripada Abdullah bin 'Amru, ia berkata: Telah bersabda kepada aku Nabi SAW iaitu:

"Tidakkah dikhabarkan kepada aku bahawasanya engkau berdiri pada malam hari, dan engkau berpuasa pada siang hari? Berkata aku, bahawasanya aku perbuat yang demikian. Ia bersabda: Maka apabila engkau perbuat yang demikian itu, dalamlah mata engkau dan penatlah diri engkau dan bahawasanya bagi diri engkau ada hak ke atas engkau dan bagi ahli engkau ada hak ke atas engkau, maka berpuasalah engkau dan berbukalah, dan bangunlah engkau dan tidurlah."

Keterangan:

Kata Abdullah bin 'Amru, bahawasanya telah bertanya kepadanya Nabi SAW iaitu, "Tidakkah dikhabarkan kepada aku bahawasanya engkau berdiri pada malam hari dan berpuasa di siang hari?"

Dijawabnya bahawa sebenarnyalah dia perbuat yang demikian itu.

Bersabda Rasulullah: "Maka apabila engkau perbuat yang demikian (sembahyang malam hari, puasa siang hari), tentulah cengkung mata engkau dan lemah lesu diri engkau, dan ketahuilah bahawa bagi diri engkau (badan engkau) ada hak, dan bagi isteri engkau ada hak yang mesti ditunaikan. Sebab itu, maka berpuasalah engkau dan berbukalah. Juga, bangunlah engkau beribadat dan tidurlah engkau kerana berehat (bersenang diri).

Demikianlah junjungan di dalam sabdanya menerangkan cara seorang Islam mengerjakan ibadat, iaitu janganlah kiranya terlalu kuat ibadatnya hingga melemahkan tenaga matanya dan dirinya, dan ia mestilah pula sentiasa ingat hak dirinya dan hak isterinya yang mesti ditunaikan seberapa boleh supaya terselamat hidupnya di dunia dan di akhirat.

Hadis 8 - Rasulullah Mengajar Orang yang Tiada betul Mengerjakan Sembahyang

Daripada Abi Hurairah bahawasanya Nabi SAW telah masuk ke dalam masjid, maka masuk pula seorang lelaki lalu bersembahyang. Kemudian ia datang, maka ia mengucap salam kepada nabi SAW, lalu dijawabnya dan bersabda: Kembalilah engkau, maka bersembahyanglah engkau kerana bahawasanya engkau tiada sembahyang. Kemudian maka ia sembahyang. Setelah itu ia datang, maka mengucap salam kepada Nabi SAW, lalu Nabi bersabda: Kembalilah engkau, maka sembahyanglah kerana bahawasanya engkau tiada sembahyang; dikatakannya sebanyak 3X. Maka berkata ia, demi Tuhan yang mengutuskan engkau dengan benar untuk menjadi nabi, maka tiada aku dapat memperelok akan yang lainnya, maka ajarkanlah daku. Ia bersabda: Apapbla engkau bangun kepada mengerjakan sembahyang, maka bertakbirlah, kemudian bacalah apa yang mudah kepada engkau daripada ayat Al-Qur'an, kemudian ruku'lah hingga tetap engkau dalam keadaan engkau ruku', kemudian itu, angkatlah hingga engkau i'tidal dalam keadaan engkau berdiri, kemudian sujudlah hingga tetaplah engkau dalam keadaan engkau sujud, kemudian bangkitlah hingga tetap engkau dalam keadaan engkau duduk, kemudian sujudlah hingga tetaplah engkau bersujud. Kemudian itu, perbuatlah engkau akan yang demikian di dalam sembahyang engkau semuanya.


Keterangan:
Junjungan Rasulullah SAW telah memasuki masjid, kemudian pada waktu itu masuk puila seorang lelaki, namanya Khullad bin Rafi' Al-Zarqi, lalu terus bersembahyang. Kemudian lelaki itu datang kepada junjungan dan kepada junjungan diucapkan salam. Salamnya itu dijawab oleh Rasulullah. Kemudian akhirnya, diterangkan bagaimana perbuatan yang mesti dilakukan di dalam sembahyang.

Kepada lelaki itu, sesudah mengucapkan salam pertama kalinya kepada junjungan, dia disuruhkan sembahyang kembali oleh kerana tiada sah sembahyang yang dikerjakan itu. Setelah itu, lelaki itu bersembahyanglah, kemudian ia datang kepada junjungan, maka kepadanya diucapkan salam. Kemudian bersabda junjungan: Kembalilah engkau, kemudian maka sembahyanglah kerana tiada sah sembahyang engkau. Demikian dikatakan 3X sebagai ajaran kepadanya.

Kemudian maka lelaki itu berkata: Demi Tuhan yang mengutuskan engkau dengan benar untuk menjadi nabi, maka tiada aku dapat memperelok akan yang lainnya (ertinya: aku tahu sebagaimana yang aku perbuat ini dan tak tahu akan yang lain). Lalu dia memohon dari Rasulullah supaya mengajarkannya cara mengerjakan sembahyang dengan betulnya.

Sabda junjungan: Apabila engkau bangun kepada mengerjakan sembahyang, maka hendaklah engkau mulai dengan takbiiratul ihram. Kemudian bacalah apa yang mudah daripada ayat Al-Qur'an. Kemudian ruku'lah hingga tetap engkau (tetaplah engkau, ertinya bertama'ninah) di dalam ruku' itu. Setelah itu bangunlah hingga engkau i'tidal di dalam berdiri. Kemudian sujudlah hingga tetaplah engkau di dalamnya. Kemudian bangunlah hingga hingga tetaplah engkau di dalam duduk di antara dua sujud. Setelah itu, sujudlah hingga tetaplah engkau di dalam sujud itu.

Kemudian perbuatlah yang demikian itu (iaitu takbir, membaca qur'an, ruku', sujud, duduk dan tama'ninah) di dalam sembahyang engkau semuanya (sama ada fardhu atau sunat).

Demikian Rasulullah mengajarnya bersembahyang yang betul.

Tuesday, April 11, 2006

Hadis 7 - Tujuh Orang Yang Dinaungi Allah Di Hari Qiamat

Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, ia bersabda:

"Tujuh orang yang dinaungi akan mereka oleh Allah pada naunganNya pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya sahaja: Imam yang 'adil, dan pemuda yang hidup terdidik pada ibadat tuhannya, dan lelaki yang hatinya bergantung dengan masjid-masjid, dan dua orang lelaki yang berkasih sayang pada Allah; berhimpun keduanya keranaNya dan bercerai keduanya keranaNya, dan lelaki yang meminta kepadanya oelh perempuan yang mempunyai kemuliaan dan kecantikan; maka ia berkata, bahawa aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekelian alam, dan lelaki yang bersedekah dengan sedekah yang ia sembunyikan hingga tiada mengetahui oleh tangan kirinya apakah yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, dan lelaki yang mengingati Allah 'Azzawajalla dengan ikhlas, maka mengalirlah dua matanya kerana menangis"


Daripada sabda junjungan tersebut, nyatalah bahawa tujuh orang yang dinaungi oleh Allah pada hari qiamat, hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya sahaja.

Tujuh orang itu ialah:

1. Imam atau raja yang 'adil di dalam pemerintahannya dan rakyatnya merasa keadilannya.

2. Pemuda (iaitu orang yang kurang usianya daripada 40 tahun) yang hidup terdidik beragama, tekun dan taat beribadat kepada tuhannya.

3. Lelaki yang hantinya tergantung atau tertambat dengan masjid-masjid; lelaki yang sentiasa teringat kepada masjid-masjid selepas ia menunaikan sembahyang di dalamnya.

4. Dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah bukan kerana keduniaan; berhimpun dan bersatu keduanya kerana Allah dan bercerai-berai keduanya oleh kerana mati, kerana Allah.

5. Lelaki yang diminta kepadanya oleh seorang perempuan supaya ia melakukan perbuatan zina, sedangkan perempuan itu mempunyai keturunan atau kemewahan hartabenda serta kecantikan, maka oleh lelaki itu ditolak dan dikatakannya : Bahawa akutakut kepada Allah, seru sekelian alam.

6. Lelaki yang bersedekah dengan sedekah yang ia sembunyikan dan ia sulitkannya hingga tiada mengetahui oleh tangan kirinya apakah yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, padahal dua tangannya itu berada di badannya yang satu.

Dikehendakki dengan bersedekah yang disembunyikan di sini ialah sedekah sunat bukan sedekah wajib. Adapun sedekah wajib maka menzahirkannya lebih afdhal.

7. Lelaki yang mengingati Allah di dalam hatinya atau lidahnya dengan zikir yang disertai ikhlas dan bersih hati bukan dengan riya' hingga mengalir air matanya kerana terkenang kebesaran Allah dan takut siksaannya.

Mudah-mudahan dipermasukkan Allah kita ke dalam salah satu daripada golongan tujuh di atas ini lalu mendapat naunganNya pada hari qiamat kelak - Aamin!

Hadis 6 - Bang (Azan) dan Saf Pertama, Kelebihan 'Isyak dan Subuh Berjama'ah

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Kalau mengetahui oleh manusia sesuatu yang ada bang (azan) dan pada saf pertama, kemudian mereka tiada mendapatkannya melainkan mereka membuang undi, nescaya mereka membuang undi itu. Dan kalau mereka mengetahui tentang faedah bersegera kepada sembahyang nescaya mereka berlumba-lumba kepadanya. Dan kalau mengetahui mereka apa yang ada pada sembahyang 'isyak dan subuh, nescaya mereka datangi keduanya sekalipun dengan mengisut


Hadis tersebut menerangkan bahawa kalaulah mengetahui manusia tentang kelebihan dan besar balasan yang didapati daripada bang (azan) dan daripada saf pertama, kemudian mereka tiada berpeluang untuk mendahului orang lain melainkan dengan jalan mengundi di antara mereka sendiri, nescaya berundilah oleh mereka. Kerana apa? Ialah kerana hendak mendapat kelebihan (fadhilat) yang terkandung pada bang dan pada saf yang pertama itu.

Dan kalau mereka mengetahui akan kelebihan bersegera pada menyempurnakan sembahyang, nescaya berlumba-lumba mereka kepadanya. Seterusnya, kalau mereka mengetahui pahala sembahyang 'isyak dan subuh dengan berjama'ah, tentulah mereka datang menyempurnakan keduanya dengan cara berebut-rebut dan berlumba-lumba sekalipun dengan mengisut.

Hadis 5 - Malaikat Yang Melaporkan Perkara Sembahyang

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Bertalu2 atau berturut2 datang kepada kamu oleh malaikat di waktu malam dan malaikat di waktu siang dan mereka berhimpun pada sembahyang fajr dan pada sembahyang 'asar. Kemudian naiklah mereka yang bermalam pada kamu, maka Allah bertanya mereka dan Ia lebih mengetahui dengan mereka, bagaimana kamu meninggalkan hamba-hambaKu? Maka mereka berkata, kami meninggalkan mereka sedang bersembahyang dan datang kami kepada mereka dan merekapun sedang sembahyang"


Hadis tersebut menerangkan bahawa datang kepada kamu oleh malaikat malam dan malaikat siang dengan bertalu-talu, sepuak demi sepuak dan mereka berhimpun, iaitu malaikat malam dan malaikat siang itu, pada sembahyang subuh dan sembahyang asar.

Adapun ditentukan dua waktu tersebut (subuh dan asar) dengan waktu perhimpunan malaikat, menunjukkan bahawa kedua-dua waktu itu adalah semulia-mulia waktu dan sembahyang pada waktu itu adalah seafdhal-afdhal sembahyang.

Setelah itu maka naiklah malaikat malam yang bermalam pada kamu itu lalu mereka ditanya oleh Allah dan Ia lebih mengetahui dengan mereka. Soal itu ialah, bagaimanakah kamu meninggalkan hamba-hambaKu? Maka jawab mereka memuji ke atas hamba-hamba yang beribadat, kami tinggalkan mereka sedang mereka itu di dalam sembahyang dan kami datang kepada mereka, mereka itupun di dalam sembahyang.

Difahamkan dari hadis tersebut, keterangan tentang ibadat seorang hamba yang sentiasa diperhatikan oleh malaikat. Kerana itu, mahulah ia melakukan ibadat itu dengan cukup sempurna menurut sebagaimana yang dituntut. Juga hadis tersebut memberitahu tentang kasihnya malaikat dan pujiannya di atas yang dikerjakan dan laporannya yang disampaikan kepada Allah tiap-tiap hari.

Sunday, April 09, 2006

Hadis 4 - Malaikat Berdoa Untuk Orang Yang Berada Di Tempat Sembahyangnya

Daripada Abi Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya malaikat berdoa untuk seseorang kamu selama ia pada tempat sembahyangnya yang ia bersembahyang padanya selama ianya tiada berhadas. Malaikat itu berdoa (Allahummaghfirlahu, Allahummarhamhu), hai Tuhanku, ampunilah baginya, hai Tuhaiku, kasihanilah dia.


Hadis tersebut menerangkan, bahawa malaikat berdoa ke atas seorang kamu selama dia masih berada di tempat sembahyangnya, iaitu tempat ruku' dan sujudnya selama mana ia tiada berhadas. Tetapi kalau berhadas, tiadalah didapati doa daripadanya.

Malaikat berkata dalam doanya, "hai Tuhanku! Ampunilah baginya. Hai Tuhanku! Kasihankan dia". Inilah di antara keistimewaan yang diperolehi oleh orang yang tetap di tempat sembahyangnya.

Saturday, April 08, 2006

Hadis 3 - Orang-Orang Bodoh Dijadikan Ketua

Daripada Abdullah bin 'Amru bin Al-'As, ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Bahawasanya Allah tiada menghapuskan ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya sekaligus daripada hamba-hambaNya, tetapi Ia menghapuskan ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama, hingga apabila tiada tinggal lagi orang yang 'alim, maka mengambillah manusia kepala-kepala dari orang-orang yang bodoh, lalu ditanya mereka, maka mereka memberi fatwa denga tiada berpengetahuan, maka sesatlah mereka itu dan menyesatkan pula"


Demikianlah junjungan menerangkan betapa keadaan pada waktu ketiadaan ulama' yang cukup ilmu pengetahuan agama Islam yang berani bertanggungjawab di atas soal-soal agama. Maka pada ketika itulah dapat dilihat bagaimana megahnya orang-orang bodoh yang diberi kesempatan memegang teraju agama hingga kalau disoal, merekapun memberi keputusan dengan tidak bersandarkan kepada pengetahuan dan nas yang terang, kerana ini mereka telah sesat dan dengannya menyasulkan orang lain pula.

Hadis 2 - Kebaikan Yang Diberikan Kepada Orang yang Faham Agama

Daripada Mu'awwiyyah bin Abi Sufyan, Radiallahu 'anhuma, ia berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda,

"Barangsiapa yang Allah kehendakki kebajikan baginya, diberikan faham kepadanya dalam agama dan hanya aku ini sebagai pembahagi, dan Allah pemberi. Dan sentiasalah umat ini (ahli ilmu atau mereka yang berpegang dengan sunnah) berdiri atau tegak di atas perkara (agama) Allah, tentulah tiada mendatangkan mudharat atau bahaya kepada mereka oleh siapa yang menyalahi mereka hingga datanglah perintah Allah"


Hadis tersebut menerangkan bahawa Mu'awwiyyah telah berkata, (aku dengar junjungan bersabda, siapa yang dikehendakki Allah kebaikan, diberikan Allah faham) atau pengertian (pada agamanya, dan hanya aku pembahagi) membahagi sama rata di kalangan kamu pengetahuan tentang kesampaian wahyu dengan tidak ada perbezaan (dan Allah yang memberi) iaitu memberi faham tentang makna wahyu itu menurut kesanggupan masing-masing.

Junjungan memberitahu yang ia tiada melebihkan tentang pembahagian wahyu yang disampaikan kepadanya. Ia menyamakan pembahagian itu antara umat-umatnya.

Dengan ini dapat difaham bahawa junjungan Rasulullah SAW telah membahagi atau menyampaikan apa yang telah disampaikan kepadanya. Hanya untuk mendapat faham apa yang disampaikan itu terhenti pula kepada Allah, dan Allah Tuhan yang memberi kepada seseorang tenaga dan daya berfikir untuk memahaminya.

Berkata setengah sahabat, kami mendengar suatu hadis, maka kami tiada faham atau tiada mengerti daripada hadis itu melainkan yang zahirnya sahaja. Ada pula orang lain atau golongan yang datang kemudian, mendengar hadis itu juga, maka mereka itu dapat memahami serta dapat pula mengeluarkan masalah yang banyak daripadanya. Yang demikian adalah daripada kelebihan Allah berikan kepada siapa yang dikehendakkiNya.

Selanjutnya junjungan menyambung sabdanya yang menyatakan, bahawa sentiasalah hendaknya umat ini berpegang dengan perjalanannya dan berdiri di atas agama Allah, tiada berpaling daripadanya; tentu tiada datang kemudharatan kepada mereka oleh sesiapa yang menyalahi mereka - sekiranya mereka berpegang dengan perjalan itu - hingga datanglah perintah Allah sebelum beberapa masa daripada saat datangnya hari kiamat.

Hadis 1 - Berbelanja Untuk Rumahtangga

Daripada Abi Mas'ud, daripada Nabi SAW, sabdanya:

"Apabila seorang lelaki berbelanja untuk ahlinya (rumahtangganya), hal keadaan ia ikhlaskan (dalam perbelanjaannya), maka perbelanjaan itu sedekah baginya"


Hadis tersebut menerangkan bahawa apabila seorang lelaki membelanjakan wangnya atau yang lainnya kepada ahli rumahnya, iaitu kepada isterinya, anaknya dan kepada mereka yang di bawah tanggungannya, dengan bersih hati dan ikhlas kerana Allah, maka perbelanjaan yang dikeluarkan itu sama ada besar atau kecil, sedikit atau banyak, semuanya itu dihitung menjadi sedekah baginya. Ertinya, ia beroleh pahala sebagaimana ia bersedekah kepada orang lain.

Sebaliknya kalau seseorang mengeluarkan perbelanjaan kepada mereka yang tersebut bukan dengan bersih hati atau bukan dengan ikhlas, maka terlepaslah ia daripada kewajipan tanggungan yang wajib, tetapi tiada beroleh apa-apa pahala.

Oleh itu, hendaklah seseorang bersih hati dan ikhlas ketika mengeluarkan perbelanjaan rumahtangga, supaya mendapat pahala di samping terlepasnya daripada tanggungannya yang wajib serta berjalanlah roda kehidupan rumahtangganya dengan baik dan mendapat keridhaan Allah Azzawajalla.

Hadis 5, Terjemahan Mukhtasar Abi Jamrah